Pelik benor gamaknya maklumat ini dengan satu berita yang agak menarik perhatian semalam ialah berita kononnya bekas al Sultan Kelantan akan dibawa lari ke Siam.
KOTA BHARU: Istana Mahkota, hari ini membuat satu laporan polis berhubung penerimaan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) mengatakan bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra akan dibawa lari ke Thailand.
Laporan itu dibuat Pegawai Tentera Istana Mahkota, Zahari Bakri, di Balai Polis Kubang Kerian kira-kira jam 10.50 pagi tadi. Zahari yang hadir bersama seorang kakitangan Istana Mahkota ketika ditemui pemberita, berkata beliau menerima satu SMS daripada individu yang tidak dikenali pada 9.21 pagi, 21 September lalu memaklumkan ada pakatan jahat untuk membawa lari Sultan Ismail Petra melalui jalan darat ke Thailand. Katanya, SMS itu berbunyi: "salam, mohon kawalan ketat dan rapi di sempadan (Kelantan-Thailand) ini kerana maklumat yang diperolehi ada pakatan jahat untuk membawa lari Sultan Ismail Petra melalui jalan darat ke Thailand, minta dikeluarkan serta-merta arahan ini kepada semua yang bertugas di sempadan untuk bersiap sedia untuk menyekat niat jahat ini, marilah kita berdoa semoga Sultan Ismail Petra selamat dari golongan yang zalim.
"Apa yang mungkin berlaku mereka ini akan menjadikan kem tentera sebagai tempat untuk berlindung. Elakkan dari perkara ini berlaku atau dituduh bersubahat."
Selain SMS itu katanya, beliau turut membaca satu laporan di sebuah laman blog The Kelantan Insider pada 4 Oktober lalu yang bertajuk "Posting 45: Sultan Ismail Petra akan dibawa lari ke Thailand?"
"Dalam laporan di blog itu juga menyentuh perkara yang sama iaitu mengenai perancangan pihak tertentu untuk membawa keluar secara sembunyi Sultan Ismail Petra untuk bersemayam di Thailand.
"Selain itu turut ditulis kebimbangan pihak blog berkenaan sekiranya benar kejadian itu berlaku selain menyeru pihak berkuasa menjalankan tindakan supaya perkara berkenaan tidak terlaksana," katanya.
Justeru, katanya, beliau membuat laporan polis supaya pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut kerana ianya dikhuatiri boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan menjejaskan nama baik Institusi Diraja Kelantan.
Zahari berkata, penulis blog Kelantan Insider juga perlu disiasat supaya dapat mengetahui dari sumber mana yang diperolehi mereka ketika menulis laporan mengenai komplot membawa lari bekas Sultan itu. - BERNAMA